Monday, September 14, 2009

Data Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Malaysia 2008



Dalam ucapan perasmian Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di MSET Shipbuilding di Pulau Kambing, Terengganu pada 15 Januari 2009, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam menyatakan bahawa sebanyak 63,600 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan pada tahun 2008. Pada tahun yang sama, 1,303 kes kematian dilaporkan. Penyumbang kadar kemalangan yang tertinggi ialah sektor pembuatan. Sebanyak 188 kemalangan maut dilaporkan di sektor itu pada tahun 2008. Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, penyebab utama kemalangan ialah kegagalan majikan mengadakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja (OSH Management System). Di samping itu, pekerja pula tidak mematuhi prosedur kerja selamat yang telah ditetapkan. Matlamat kerajaan ialah mencapai tiga kes kemalangan bagi setiap 1,000 orang pekerja menjelang negara maju pada tahun 2020. Berbagai program dan kempen dijalankan untuk mencapai matlamat itu.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan sebanyak 5,559 notis kepada majikan di seluruh negara sepanjang 2008 kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JKKP Malaysia, Zabidi Md Adib kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan KKP dan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar di Sektor Pengangkutan Jalan Raya di Johor Baharu dalam bulan Mei 2009. Sebanyak 135 kes dibawa ke mahkamah manakala 14 majikan dikenakan tindakan kompaun kerana didapati melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Pelanggaran kepada akta dikesan melalui audit dan pemeriksaan mengejut secara berterusan. 5,559 notis yang dikeluarkan membabitkan majikan di bawah semua 11 sektor yang termaktub dalam bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Menurut Zabidi Md Adib, pemilik syarikat masih gagal mengadakan perkara asas sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan iaitu dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja (Safety and Health Policy at Workplace). Dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja (Safety and Health Policy at Workplace) menunjukkan komitmen majikan kepada pekerja. Kebanyakan notis yang dikeluarkan berkaitan dengan kegagalan untuk menyediakan dasar itu yang merupakan perkara yang paling asas di tempat kerja.

No comments:

Post a Comment