Tuesday, November 16, 2010

Lapan Cedera, Mesin Kilang Meletup

Lapan Cedera, Mesin Kilang Meletup

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 8 Nov. - Lapan cedera termasuk dua daripadanya parah selepas mesin penyedut habuk sebuah kilang membuat rim motosikal di Kawasan Perindustrian Perai di sini, meletup lalu terbakar hari ini.

Mangsa terdiri daripada masing- masing empat pekerja tempatan dan warga Nepal yang disyaki cedera selepas tercampak akibat letupan kuat itu.

Kejadian pukul 10.10 pagi itu turut mengakibatkan gegaran kuat sehingga mengakibatkan sebahagian daripada struktur bangunan tersebut musnah dan runtuh.

Selain itu, kesan letupan juga merosakkan beberapa premis di sekelilingnya termasuk sebuah lagi kilang yang terletak kira-kira 80 meter dari lokasi kejadian.

Serpihan daripada letupan seperti paip, sisa konkrit dan kepingan logam berhamburan ke luar kilang dan berterbangan sehingga ke seberang jalan.

Mangsa-mangsa yang cedera dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Pakar Bagan, dekat sini dan dilaporkan stabil.

Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Mohd. Razam Taja Rahim ketika ditemui selepas operasi memadam kebakaran berkata, semasa kejadian terdapat 70 pekerja berada di dalam kilang.

"Bagaimanapun setakat ini, lapan pekerja disahkan cedera akibat melecur atau terkena sisa letupan," katanya sambil menambah pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.

Menurutnya, seramai 33 anggota Bomba dan Penyelamat bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 10.20 pagi.

"Operasi turut dibantu oleh kira-kira 30 anggota bomba sukarela. Kebakaran dapat dikawal sejam selepas itu," katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa warga Nepal, Sudath Prem, 22, ketika ditemui di HSJ memberitahu, ketika kejadian, dia berada kira-kira 30 meter daripada mesin penyedut habuk yang tiba-tiba meletup.

"Letupan terjadi sangat kuat dan menyebabkan gegaran. Selang beberapa saat selepas itu, kepulan api marak memenuhi kawasan kilang," katanya.

Menurutnya, dia yang melecur kedua-dua belah tangannya bernasib baik dapat keluar daripada sisa runtuhan kilang tersebut.

Dipetik dari laman Utusan Online

1 comment:

  1. Salam hormat semua..Saya berkelulusan Diploma keselamatan dan kesihatan pekerjaan ingin mencari kerja dan menambah pengalaman..sy boleh dihubungi melalui emel croacher_02@yahoo.com

    ReplyDelete