Ciri Keselamatan Lori Cukup Untuk Elak Kemalangan - PMLOA
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Persatuan Pemilik Lori Semalaysia (PMLOA) menegaskan bahawa kebanyakan lori sudah dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang mencukupi untuk digunakan sewaktu kecemasan.
Presidennya Er Sui See berkata ini kerana selain lampu standard yang terdapat pada badan lori, setiap lori juga dilengkapi dengan reflektor (pemantul cahaya) yang membolehkan pemandu lain melihat lori dengan jelas terutamanya yang berhenti di tepi jalan.
"Reflektor yang dipasang pada badan lori ini sepatutnya sudah memadai kerana ia boleh dilihat dalam keadaan terang, gelap atau hujan lebat sekalipun," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.
Beliau berkata pemasangan reflektor ini adalah mandatori dan setiap lori mesti memasang reflektor yang berukuran tiga meter sebagai salah satu ciri keselamatan tambahan.
"Bagaimanapun sekiranya terdapat pemandu lori yang gagal memasang reflektor ini, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) haruslah mengambil tindakan ke atas mereka kerana tindakan tersebut boleh mengakibatkan kemudaratan kepada pengguna jalan raya," katanya.
Er juga berkata orang ramai tidak seharusnya menyalahkan pemandu lori semata-mata apabila berlaku kemalangan sebaliknya turut melihat kepada faktor-faktor lain.
"Jika berlaku kemalangan, ada banyak faktor yang menyumbang terutamanya struktur jalan, cuaca serta keadaan pemandu itu sendiri sama ada mengantuk atau tidak.
"Seperti kemalangan di Plaza Tol Senawang baru-baru ini, keadaan persekitaran adalah terang dan treler tersebut juga diletakkan di lorong kecemasan. Bukannya di tengah jalan dan mengganggu pengguna lain," katanya.
Selain itu beliau juga berkata pihaknya akan mencadangkan kepada JPJ agar menguatkuasakan penggunaan kon bagi menggantikan segi tiga keselamatan yang digunakan sewaktu kecemasan.
"Pada pendapat kami penggunaan kon adalah lebih efisien kerana kon lebih mudah dilihat dari jarak jauh dan tidak mudah tumbang sekiranya ditiup angin," katanya.
Katanya walaupun penggunaan kon adalah lebih mahal berbanding segi tiga keselamatan, sekurang-kurangnya pemandu lain akan lebih peka akan bahaya yang menanti di hadapan mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan berkata pihaknya akan mengusahakan agar bilangan lampu pada badan lori dapat ditambah daripada jumlah yang sedia ada sekarang.
"Jika dibandingkan dengan saiz lori yang besar, kita akan lihat lampu itu kecil dan seperti tidak mencukupi untuk memberitahu pengguna jalan raya tentang kehadiran lori tersebut. Kita akan cuba perbaiki mutu dengan menambahkan lagi lampu dan meningkatkan kejelasannya," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata pemasangan reflektor sememangnya sudah termaktub dalam Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan kompaun RM300.
Solah berkata JPJ akan bekerjasama dengan PMLOA berhubung penggunaan kon sewaktu kecemasan dan akan memperbaiki lagi ciri-ciri kon daripada aspek saiz dan kejelasan kon.
"Kon merah putih yang digunakan sekarang akan diperbaiki dengan menjadikannya lutsinar agar dapat dilihat dengan lebih jelas terutamanya pada waktu malam," katanya.
Dipetik dari laman web Bernama

No comments:
Post a Comment