Maut Terjerlus Dalam PasirJOHOR BAHRU 13 Nov. - Seorang operator jengkaut dikhuatiri maut apabila secara tiba-tiba dia dan kenderaannya terjerlus ke dalam pasir semasa sedang menambak pasir di tapak projek pesisir Pantai Lido Boulevard, di sini malam tadi.
Mangsa, Mohd. Nor Miskan, 36, tertimbus ke dalam pasir itu dalam kejadian pada pukul 9.40 malam. Turut tertimbus adalah dua kontena dan sebuah generator yang digunakan untuk kerja-kerja berkenaan.
Pegawai Tinggi Bomba Bahagian Operasi Balai Bomba Johor Bahru, Aminah Saimin berkata, kerja-kerja penyelamat dilakukan oleh seramai 20 anggota dan pegawai termasuk 10 penyelam unit skuba bomba.
Katanya, operasi mula dijalankan pada pukul 10.36 malam tetapi terpaksa diberhentikan beberapa jam, sebelum disambung semula hari ini.
"Sehingga kini, operasi mencari masih diteruskan di lokasi kejadian dan mangsa belum ditemui," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika ditemui berkata, sebuah jawatan kuasa khas ditubuhkan bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa selain menyiasat punca kejadian.
Sementara itu, kakak mangsa, Hani Masra, 40, berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh rakan setugas Mohd. Nor, pada pukul 9.40 malam pada hari kejadian.
"Kami terkejut mendengar berita itu kerana selama ini hanya mendengar kisah orang lain ditimpa kemalangan. Tidak sangka kali ini, ia menimpa ahli keluarga sendiri.
"Sepatutnya Mohd. Nor hendak melawat ibu yang sudah dua hari dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana menghidap barah leher, namun hajatnya itu tidak kesampaian," katanya lagi.
Turut kelihatan di lokasi kejadian ialah ibu mangsa, Siti Tasuki, 58, dan beberapa ahli keluarga lain.
Menurut Hani, Mohd. Nor yang telah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia antara lima dan 13 tahun, berpengalaman 10 tahun mengendalikan jentera berat.
Sementara itu, jurucakap syarikat pemaju, Central Malaysia Properties Sdn. Bhd. (CMP) berkata, pihaknya sedang berusaha mengambil semua langkah yang diperlukan berhubung kejadian itu.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa, CMP dalam kenyataannya berkata, kumpulan teknikal syarikat itu juga melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Dipetik dari laman
Utusan Online